Senin, 30 Desember 2013

Intipan Rahsia Amerika Syarikat Makan Diri


Moscow – Program pemantauan besar-besaran Amerika Syarikat membabitkan intipan menerusi telefon dan internet di seluruh dunia hanya menyebabkan keadaan semakin tidak selamat.

Pandangan itu disuarakan oleh bekas penganalisis sistem komputer Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Edward Snowden, di sini, Jumaat lalu.

Snowden yang berada di Russia, menjelaskan perkara itu menerusi klip video yang disiarkan laman web WikiLeaks.

Pemantuan besar-besaran

Katanya, pemantauan secara besar-besaran itu ‘menyebabkan kita berisiko bergaduh dengan kerajaan sendiri.’

Sebuah mahkamah Amerika sudah mendakwa Snowden mencabul Akta Pengintipan kerana mendedahkan kepada umum program rahsia itu.

Snowden menyifatkan program itu sebagai menyebabkan ‘segala tindak-tanduk berjuta-juta penduduk diperhatikan meskipun ia tidak perlu.’

“Program itu menjejaskan ekonomi. Ia juga memberi masalah kepada negara kita. Ia mengehadkan keupayaan kita untuk bercakap, berfikir dan menjadi kreatif selain menjalin hubungan dan bebas bergaul,” kata Snowden.

Video itu kali pertama Snowden dilihat berucap sejak 12 Julai lalu apabila bekas pekerja NSA itu berada di lapangan terbang Moscow untuk memohon diberi perlindungan yang diterimanya pada 1 Ogos lalu.

Keputusan Moscow menjejaskan hubungan antara Amerika dan Russia. Presiden Barack Obama membatalkan mesyuarat dengan Presiden Vladimir Putin ketika satu sidang kemuncak berlangsung di Russia, September lalu.

Snowden berkata, kerajaan Amerika ‘tidak mahu mendakwa pegawai kanan yang didapati berbohong kepada Kongres dan negara sedangkan ia dirakam tetapi melakukan apa saja untuk menghukum sesiapa yang memberitahu kebenaran.’

Dalam satu ulasan lain, WikiLeaks berkata, Snowden pada Rabu lalu menerima anugerah tahunan Sam Adams yang menggunakan nama penganalisis Agensi Perisikan Pusat (CIA).- AP

Tidak ada komentar:

Posting Komentar