Senin, 30 Desember 2013
Peranan Masjid Dalam Membantu Penagih Dadah
KUALA LUMPUR – Penagih dadah jenis opioid kini dirawat seperti pesakit kronik yang lain dengan mereka menjalani terapi penggantian dadah menggunakan methadone.
Kaedah rawatan ini yang diperkenalkan pada 2005 telah menunjukkan hasil positif dalam mengatasi masalah ketagihan selain berjaya mengurangkan kadar jangkitan HIV/AIDs di kalangan penagih.
Kini terdapat kira-kira 7,000 penagih yang mendapatkan methadone di hospital dan klinik kerajaan seluruh negara dan kerajaan mensasarkan 72,000 pengguna dadah mendapatkannya menjelang 2015.
Untuk meningkatkan keberkesanan terapi penggantian dadah dan mencapai sasaran negara bebas dadah menjelang 2015, pendekatan Islam turut ditekankan dalam rejim rawatan itu.
GABUNGAN PERUBATAN DAN ROHANI
Program Peningkatan Kerohanian Dalam Rawatan Pemulihan Dadah (SEDAR) merupakan pendekatan gabungan methadone dan kerohanian yang dirintis Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) pada 2009 bersama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Program ini telah menunjukkan kejayaannya hingga mampu mengembalikan kehidupan penagih dadah yang sebelum ini dianggap sebagai sampah masyarakat.
Malah ada dalam kalangan mereka kini mampu bekerja, berkahwin dan membina kehidupan sepertimana orang normal lain.
Usaha UMCAS juga telah mendapat perhatian dunia termasuk media barat yang melaporkan mengenai kaedah itu yang dilihat sebagai gabungan yang saling memerlukan.
Program dua dalam satu itu membawa pesakit mendekati masjid yang dijadikan tempat bukan sahaja untuk mencari kekuatan jiwa dan kerohanian sebaliknya tempat mendapatkan ubat (methadone) bagi merawat ketagihan dadah, menurut ketua penyelaras program Dr Rusdi Abd Rashid.
MASJID AR-RAHMAN BANGSAR MENJADI PERINTIS
Masjid Ar-Rahman di Bangsar merupakan masjid pertama terlibat dalam program itu pada awal 2010 dengan jumlah 50 orang peserta.
Satu ruang di tingkat atas masjid itu dikhususkan untuk operasi klinik methadone serta pihak masjid memberikan rawatan kerohanian dengan dibantu oleh Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) serta Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Modul khas kerohanian dirangka khusus untuk pesakit dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu mesti berumur 18 tahun ke atas, mengambil dadah jenis opioid seperti heroin dan mofin secara berterusan sekurang-kurangnya setahun dan harus mengikuti program secara sukarela.
“Kami juga membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mereka dengan mengambil contoh darah.
“Didapati 60 peratus daripada mereka mempunyai jangkitan hepatitis C, enam peratus HIV dan enam peratus dijangkiti kedua-duanya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
PENDEKATAN ISLAM
Sebelum memasuki masjid, pesakit perlu mengambil wudhu dengan diikuti solat sunat tahyatul masjid sebanyak dua rakaat, membaca doa Mathurat dan Al-shifaq.
“Setelah itu, akan diadakan sedikit taaruf dan kaunseling bagi memantapkan lagi kerohanian mereka dan kemudian barulah pesakit akan berjumpa doktor yang akan memeriksa dan memberikan preskripsi methadone mengikut keperluan pesakit itu,” kata Dr Rusdi.
Untuk tempoh tiga bulan pertama mereka perlu datang ke masjid setiap hari untuk mengambilnya. Sekiranya menunjukkan komitmen yang baik, mereka hanya perlu datang sekali dalam seminggu selain dibenarkan membawa pulang methadone untuk bekalan sepanjang seminggu.
“Ia sebagai galakkan kepada mereka yang menunjukkan kesungguhan ketikamengikuti program ini,” katanya antara lain yang diambil kira, kedatangan mengikuti program keagamaan yang dijalankan di masjid selain mampu berdikari dan mempunyai pekerjaan.
CARA KERJA METHADONE
Jelas Dr Rusdi, seperti juga pesakit kronik lain seperti penghidap diabetes yang bergantung kepada ubat, pengguna dadah juga perlu bergantung kepada methadone dengan mengambilnya setiap hari bagi membolehkan mereka melupakan ketagihan.
“Ini kerana sistem dalam otak mereka telah rosak dan untuk kembali normal dan menstabilkannya perlu bergantung kepada ubat melalui pengambilan methadone.
“Ia akan menyekat keperluan pengambilan dadah opioid dan membantu pesakit berada dalam keadaan selesa dan bebas daripada ketagihan terhadap dadah opioid,” katanya.
KEBERKESANAN PROGRAM
Program pemberian methadone secara percuma di hospital dan klinik kerajaan, telah menampakkan kesan positif terutama dalam mengurangkan jangkitan penyakit HIV/AIDS di kalangan penagih dadah.
“Hasil kajian UMCAS mendapati program SEDAR setanding dengan program pemberian methadone yang dijalankan di hospital dan klinik kerajaan malah pendekatan gabungan kerohanian dan ubatan itu lebih baik hasilnya apabila 83 peratus penagih kekal mengikuti program ini dalam tempoh setahun ia dijalankan,” katanya.
Selain itu perkara lain yang turut diambil kira adalah ujian air kencing yang negatif dadah, kualiti kehidupan lebih baik dan pengurangan kadar jenayahmmelibatkan peserta program.
Menurut Dr Rusdi, kualiti hidup peserta jelas meningkat dalam tempoh itu malahan dalam tempoh enam bulan sahaja ujian air kencing yang menunjukkan negatif pengambilan dadah telah meningkat daripada 34.3 peratus kepada 94.3 peratus.
“Pendekatan kerohanian juga telah menampakkan hasilnya apabila mereka semakin mengenali Islam dan peratusan mengamalkan ajaran Islam sebenar juga semakin meningkat daripada sebelum memasuki program ini,” katanya.
PROGRAM DIHENTIKAN
Program perintis di Masjid Ar Rahman itu bagaimanapun terpaksa dihentikan apabila kerja-kerja membaik pulih masjid itu dijalankan sejak 2012.
Namun usaha itu diteruskan malah dikembangkan kepada beberapa buah masjid berhampiran Universiti Malaya di sekitar Petaling Jaya dan di surau Ad-Deeniah yang terletak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Modul yang sama juga akan dijalankan di beberapa buah masjid lain antaranya Masjid Al-Ikhlasiah dan Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinci dan Masjid Abdul Aziz, Petaling Jaya dalam masa terdekat ini.
“Program rawatan methadone di klinik-klinik kerajaan sudah tepu apabila kerjaan tidak mampu lagi membuka klinik-klinik baru. Usaha menggabungkan masjid dan rawatan methadone ini adalah jalan terbaik mengatasi masalah ini.
“Malaysia kini mempunyai lebih 6,000 buah masjid dan jika 1/3 masjid dapat jalankan program ini, saya yakin hasrat negara bebas dadah 2015 akan tercapai,” katanya. – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar