Minggu, 22 Desember 2013
Siapa Pun Boleh Bertanding Jawatan
KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau tidak mempunyai halangan bagi sesiapapun yang ingin mencabarnya pada pemilihan Umno bulan depan.
Beliau berkata menerusi perlembagaan parti yang sudah dipinda, pemilihan terbuka kepada mana-mana anggota Umno yang ingin bertanding.
“Terpulanglah sesiapapun hendak bertanding. Mengikut perlembagaan kita tidak ada halangan siapapun nak bertanding,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini, Jumaat.
Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Shahrizat mengulas keputusan anggota Jawatankuasa Umno Kulim Bandar Baru, Raihan Suleiman Palestin yang ingin mencabar beliau pada pemilihan parti nanti.
Dalam laman Facebooknya, Raihan, 47, berkata niatnya ialah untuk menjadikan pergerakan Wanita Umno mantap seiring dengan agenda parti serta memperkasakan sayap paling kuat dalam parti itu.
Sebelum ini, bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan akan bertanding jawatan Ketua Wanita namun menarik diri dan hanya akan bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno. – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar