Selasa, 17 Desember 2013

Dewan Ulamak PAS lancar Gelombang II Misi Bantuan Banjir


Khairuddin memunggah barangan bantuan banjir ke dalam lori.
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Dr Khairuddin At Takiri melancarkan Gelombang II Misi Bantuan Banjir.

Sebelum ini beliau sendiri telah mengetuai gelombang pertama misi bantuan banjir ke Pahang pada 5 Disember yang lepas. Pelbagai bantuan keperluan asas telah diserah sendiri kepada para mangsa banjir dilokasi-lokasi yang terjejas.

Menurut beliau, melihatkan kesengsaraan para mangsa perlu diberikan perhatian khusus, maka pihak Penerangan DUPP mengambil inisiatif untuk meneruskan bantuan kemanusian untuk gelombang yang kedua.

Namun pada kali ini, pengagihan  bantuan kemanusiaan disasarkan  kepada negeri Terengganu Darul Iman terutamanya di daerah Kemaman.

"Kami mengharapkan bantuan yang tidak seberapa ini dapat meringankan sedikit sebanyak kesusahan yang dihadapi oleh para mangsa,  Dewan Ulamak melalui penerangannya insya Allah akan memantau perkembangan terkini banjir untuk memastikan kebajikan para mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya," ujar beliau.

Beliau juga turut menyarankan agar umat Islam memperbanyakkan doa dan solat hajat agar kesengsaraan mangsa banjir diberikan keringanan dan kemudahan oleh Allah s.w.t.

"Semoga dengan ujian banjir ini menambahkan keimanan dan pergantungan kepada Allah s.w.t,  ianya pasti akan membuahkan pelbagai hikmah yang mungkin kita sendiri tidak menjangkakannya," katanya.

Beliau turut menyeru agar Dewan Ulamak PAS di negeri-negeri agar turut bersiap sedia mengumpulkan dana sebagai persiapan berhadapan dengan ujian banjir di samping menghantar misi-misi bantuan secara berterusan.

Turut menyertai gelombang kedua misi bantuan banjir pada kali ialah Pengarah Akademi Kepimpinan dan Latihan DUPP,  Dr Nazri Mansur serta Penolong Setiausaha DUPP Nazmi Nik Din.

Sementara itu dalam masa yang sama, dilaporkan juga bahawa Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menghantar misi bantuan ke kawasan yang terjejas di Pahang.

Misi bantuan Dewan Ulamak Wilayah untuk gelombang yang kedua insya Allah bermula pada hari esok, 8 Disember yang bakal diketuai oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak Wilayah Persekutuan, Ustaz Md Ali.

Gelombang pertama DUPWP telah bermula pada hari ini yang diketuai oleh Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Dr Nazri Mansur serta Ketua Penerangan DUPWP, Ustaz Nazmi Nik Din.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar