Rabu, 25 Desember 2013

Mengapa harga gula hanya turun di Sungai Limau

Harakahdaily, 06 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak mengucapkan tahniah kepada PAS Kedah dan pengundi Dun Sungai Limau kerana telah berjaya mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau semasa pilihanraya kecil yang lalu.  

Semasa pilihan raya kecil Dun Sungai Limau harga gula diturunkan sehingga RM1 sekilo.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, walaupun kerajaan telah menghentikan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan alasan untuk mengelakkan penyakit diabetes (kencing manis) tetapi semasa pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau gula dijual dengan harga yang murah.

“Sungguh beruntung penduduk di Sungai Limau kerana dapat membeli gula dengan harga murah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, mengapa hanya semasa kempen PRK Sungai Limau kerajaan dapat menurunkan harga gula tetapi selepas itu harga gula naik semula seperti biasa.

“Mengapa hanya semasa PRK harga gula boleh diturunkan sedangkan apabila tiada PRK harga gula susah hendak diturunkan walaupun harga gula dunia sudah jatuh?

“Di mana keikhlasan kerajaan untuk menjaga kesihatan rakyat?” tanya beliau lagi.

Di sini, katanya jelas menunjukkan betapa tidak ikhlasnya kerajaan BN terhadap rakyat kerana mereka hanya mementingkan undi dan kekuasaan dari menjaga kesihatan rakyat.

Tambahnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat, sepatutnya kerajaan tidak mempermainkan perasaan rakyat dengan menipu rakyat semasa berkempen dengan menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan dan menganggap rakyat Malaysia seolah-olah seperti anak-anak kecil yang tidak mengerti untuk menjaga kesihatan diri sendiri.

Contohnya, ujar beliau harga gula boleh diturunkan semasa PRK tetapi selepas itu naik semula tanpa memberi sebarang sebab mengapa harga gula hanya turun semasa pilihan raya saja.

Ini, kata beliau jelas satu penipuan yang nyata terhadap rakyat kononnya kerajaan menaikkan harga gula sebab hendak menjaga kesihatan rakyat tetapi semasa PRK semua masalah kesihatan diketepikan begitu saja.

“Kita menggesa pihak kerajaan segera menurunkan semula harga gula pada harga sebelumnya atau lebih murah lagi,” katanya.  

Beliau berkata, penyakit diabetes tiada kena mengena dengan kenaikan harga gula.

Walaupun harga gula naik, ujar beliau penyakit diabetes masih juga berlaku selagi ada orang yang mengambil guna secara berlebihan dalam makanan dan juga minuman.

Tambahnya, adalah lebih baik pihak kerajaan memberi penerangan tentang menjaga kesihatan serta mengawal bahan makanan dan minuman yang menggunakan gula secara berlebihan daripada menaikkan harga gula.

“Akibat kenaikan harga gula, hampir semua makanan seperti roti dan minuman juga naik. Kenaikan harga gula hanya membebankan kehidupan rakyat biasa,” katanya lagi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar